Pelakon jelita, Rozita Che Wan nafi beraksi agak kekok ketika pertama kali mengendalikan acara berprestij, Anugerah Skrin 2011 (ASK2011) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Jumaat lalu.
Malah, Rozita Che Wan berkata, mungkin dia kelihatan sedikit kaku ketika mengacarakan anugerah tersebut bersama pengacara Ally Iskandar kerana terikat dengan skrip yang kebanyakannya terdiri daripada fakta.
"Bukan apa, saya agak berdebar kerana perlu menyampaikan fakta-fakta yang diberikan. Jadi saya nampak mungkin sedikit kaku kerana tidak banyak jenaka yang boleh saya lakukan. Mana tidaknya, hampir semua yang saya sampaikan di atas pentas perlu mengikut skrip yang telah diberikan.
"Tapi Alhamdulilah, saya rasa semuanya berjalan dengan lancarnya. Apa yang lebih penting, saya tak tersasul dan selepas saja slot kedua saya dapati semuanya berjalan dengan lebih baik.
"Walau bagaimanapun, saya lebih selesa kalau skrip itu diselitkan sedikit lawak supaya kami lebih santai, supaya penonton tak nampak saya terlalu kaku,"katanya ketika ditemui pihak media sejurus selepas ASK2011 selesai.
Sungguhpun begitu, Rozita Che Wan akui dia gembira apabila dipuji oleh penerbit selepas saja selesai slot pertama acara anugerah berkenaan.
"Awalnya saya agak gementar. Namun apabila sampai waktu iklan, penerbit memuji cara saya dan ia sekali gus mengurangkan tekanan saya selepas itu.
"Saya seronok bekerjasama dengan mereka semua dan sekiranya tawaran seperti ini datang lagi, saya tidak akan menolak kerana saya sudah mula sukakan bidang pengacaraan," jelasnya lagi.
Pada malam tersebut, ASK 2011 mempertandingkan 23 kategori melibatkan drama, filem dan penerbitan dalaman.
Selain penyampaian anugerah, majlis turut diserikan dengan persembahan nyanyian daripada Alyah, Jaclyn Victor, Shila Amzah, Zizan Raja Lawak, Aizat, Kilafairy, Tomok dan ramai lagi